Friday, January 1, 2010

Belasungkawa Ibrahim Hashim A.M.N


tidak terungkap bakti ditabur, tidak terbalas budi dan jasa,
seluas pengorbanan selautan keringat,

buat insan berhati mulia
... buat bapa yang memimpin kami,
buat guru ikhlasnya ilmu,
terima kasih... buatmu selamanya

Ketika sedang dibuai mimpi meneroka masa depan yang masih aku impikan, aku disentak oleh satu panggilan telefon. Ternyata dari seorang rakan...Azah, "Najib kau dah dapat berita tak? En. Ibrahim dah tak ada" nadanya semakin sayu. Aku mula hairan dan bermatian aku tak percaya kata-katanya namun aku bangkit lalu terfikir sejenak saat terkahir aku melihat wajah En. Ibrahim.

Ketika itu, semua orang berkobar-kobar nak jumpa dengan En. Ibrahim, maklumlah dah bertahun-tahun meninggalkan AFM (Akademi Filem Malaysia). Aku bersama, Pak Long bersama Junior, bersama Senior, bersama Super Senior, bersama Super Junior semua turun padang untuk bertemu dengan guru dan bapa yang sangat kami kagumi. Memang cantiklah waktu yang telah diaturkan iaitu ketika Hari Raya Aidilfitri tahun 2009. Masing-masing dah mula SMS dan dah call; nak tunggu kat mana? macam mana nak pergi rumahnya? pergi dengan siapa? pukul berapa nak berkumpul...? Biasalah kalau pergi ramai-ramai beginilah kerenahnya.



Setibanya aku dan rakan di rumah En. Ibrahim, kami di sambung dengan ukiran senyuman seorang yang aku hormati. Wajahnya ceria berseri menyambut kehadiran aku dan rakan-rakan lain. Kemudian aku terfikir sejenak; hmmm.... wajahnya tak ubah seperti mana 15 tahun yang pernah aku kenalnya dulu. Namun susut sedikit susuk tubunya. Yalah dah dimakan usia... walaupun dia sebenarnya tak berapa sihat namun dia paksa dirinya untuk melayani anak-anak muridnya.



Wow... 15 tahun telah aku lalui setelah graduate dalam bidang Perfileman Akademi Filem Malaysia. Satu waktu yang cukup lama dan sepanjang waktu yang lama itu telah mematangkan aku untuk terus berada dalam industri ini. Tapi semuanya harus diucapkan terima kasih untuk En. Ibrahim kerana dialah yang membentuk aku dalam dalam industri ini. Tahun 1994 aku mula mendaftar di Akademi Filem Malaysia setelah frust untuk masuk ITM pada ketika itu untuk Jurusan Seni Halus. Namun tak pernah aku terfikir untuk menjadi anak wayang. Berada 3 tahun di Studio Merdeka membuatkan aku yakin dengan apa yang aku inginkan untuk masa depan yang akan datang. Dan di situlah aku kenal siapa En.Ibrahim.



Bila masuk kelasnya..."Penataan Bunyi", pastinya telinga kena bukak sebab kalau tak dengar apa yang dia cakap pasti kena laser. Yang menariknya kelas ni, tak banyak teori tapi praktikalnya banyak sangat dan yang pastinya kelas ni menjadi kelas favorite semua orang. Namun bukan setakat kelas, dia juga sebagai HEP (Hal Ehwal Pelajar) yang sentiasa backing kita orang terutama mereka yang selalu buat masalah, poteng kelas, kena tahan tak leh masuk exam, kena tahan tak bayar yuran, gaduh dengan org FINAS, gaduh dengan pensyarah dan banyak lagi hal-hal remeh. Dialah tembok untuk kami berlindung.

Seorang guru yang cukup sempoi dan memberikan kami kebebasan bersuara dan melakukan apa yang sepatutnya budak Filem buat (jujur dan lantang bersuara). Tak cukup peralatan shooting dia tambah, tak cukup duit dia pinjamkan, tak cukup nota diberi jawapan terus untuk exam kerana baginya, praktikal adalaah segalanya bukan teori. "Score exam tinggi tapi kalau tak reti nak deploy peralatan tak guna gak..." dan ternyata benar kata-katanya itu sebab ramai graduan sekarang hanya tau teori, bila dapat peralatan tak reti pakai yang kelakarnya ada jugak yang tak tau apa itu Gun Mic, Omi Mic dan ....

Oleh kerana dia juga, kami dapat bergerak jauh. Ideanya menubuhkan FIND (Film International & Domestic) telah membawa kami ke Brussels buat pertama kalinya mewakili Malaysia untuk Anugerah Filem Pendek Dunia tahun 1998. Filem promosi AFM dari Layar ke Layar buat pertama kalinya telah mengabungkan semua pelajar AFM bersatu menerbitkan sebuah promo dalam format filem 16mm. Festival Mini Filem dan Video (AFM) yang bercelaru dialah yang membetulkan keadaan. Kebajikan kami dia yang jaga. Teringat satu ketika dulu bila aku buat satu projek FIND dan dari layar ke layar, aku ngan Pak Long masa tu tak ada duit nak makan so dengan pantas dia pergi ke kafeteria cakap dengan orang kat situ kami makan sign je. Tak payah bayar nanti AFM yang bayar. Wah... terasa berharganya hidup bila dia dia cakap macam tu sebab selama ini apa yang kita orang buat untuk AFM tak pernah dibalas. Tapi itu mungkin kisah ku namun ramai lagi kekawan yang mempunyai pengalaman yang luar biasa bersama Allahyarham.



Ketika aku mendapat panggilan telefon daripada Azah, aku masih mamai sebab baru rasanya aku jumpa dia masa hari raya hari itu. Aku masih tak puas hati dan terus telefon rakan-rakan yang lain. Ternyata mereka pun tak tahu. "betul ke apa yang Azah cakap" nada kecil suara hati aku. Kemudian seperti biasa aku telefon penghulu kampung, Jamil ternyata dia mengesahkan berita ini. Dengan pantas aku bangun tidur dan terus bersiap. Hati mula sayu terkenang saat indah bersama arwah namun telah tiba masanya dia kembali kepadaNYA.

Setibanya aku di perkarangan rumah, jelas menunjukkan kesedihan dengan warna-warna putih mereka yang berkopiah dan bertudung. Perlahan masuk ke kediaman rumah dan terbujur kaku, sebujur jenazah yang menghadap kiblat. Aku mengekori Pak Long bersama Dean, Mala dan Kak Mah. Apabila Pak Long membuka kain putih yang menutup jenazah aku lihat buat kali terakhirnya seorang teman, guru dan bapa yang selama ini mendidik aku hingga aku berada sekarang. Aku menangis dalam hati, tak terkata hanya berdoa agar rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatiha buat Allahyarham En. Ibrahim Hashim.


Kami akan merindui dan sentiasa kenang jasamu.
Demi Allah, tak akan aku lupa pengorbananmu.

9.00 pagi - 24 Disember 2009

No comments:

Post a Comment